Thursday, 25 July 2013

Penerbitan majalah

Penerbitan majalah di Malaysia merupakan suatu bidang yang jarang mendapat perhatian dalam penyelidikan, meskipun peranannya sangat penting sebagai suatu medium yang menyumbang terhadap pembinaan bahasa, budaya dan bangsa. Majalah bukan setakat menjadi bahan bacaan untuk pengisian masa senggang, tetapi memancarkan tahap pemikiran dan kemajuan masyarakat. Justeru, seperti juga halnya dengan penerbitan buku, penerbitan majalah mencerminkan tahap pembangunan negara berkenaan. Di Malaysia, penerbitan majalah berkembang dengan agak perlahan berbanding dengan penerbitan buku. Masalah paling besar yang dihadapi ialah pasaran yang agak kecil, yang diakibatkan daripada segmentasi bahasa dan latar belakang pembaca di negara ini. Perusahaan majalah di Negara ini terbahagi kepada bahasa yang digunakan seperti Bahasa Melay, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Segmentasi sedemikian menyempitkan pasaran majalah dan juga iklan. Justeru, banyak majalah yang tidak mampu bertahan lama di pasaran kerana sirkulasinya rendah dan pendapatan daripada iklan terbatas. Buku ini membincangkan pelbagai aspek dalam dunia penerbitan majalah di Malaysia, khususnya yang bersangkutan dengan penerbitan majalah dalam Bahasa Melayu. Perbincangan dalam buku ini bukan sahaja ditumpukan kepada aspek editorial majalah, malahan aspek sirkulasi dan pengiklanan.